Wednesday, August 26, 2009

Source: www.hmetro.com.my

Rezeki ‘emas putih’

Oleh Norfaisal Jahuri
am@hmetro.com.my

INDUSTRI sarang burung walet bukan baru di negara ini tetapi tidak ramai pengusahanya, terutama Bumiputera disebabkan kekurangan informasi mengenainya walaupun mampu memberi pulangan jutaan ringgit setiap tahun.

Atas alasan itu, Presiden Persekutuan Persatuan Pedagang Sarang Burung Malaysia (PPPSBM) dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) mengadakan pameran sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2009 di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh, Melaka, baru-baru ini.

Timbalan Presiden Persekutuan Persatuan Pedagang Sarang Burung Malaysia (PPPSBM), Datuk Tok Teng Sai, berkata PPPSBM buat julung kalinya bersama JPV mengadakan pameran perusahaan sarang burung walet di HPPNK.

Menurutnya, orang ramai dapat melihat sendiri dengan lebih dekat demonstrasi membersih sarang burung walet serta kaedah memelihara haiwan itu.

“Perusahaan ini mempunyai potensi untuk memperolehi keuntungan besar kerana sarang burung walet boleh mencecah RM4,000 bagi setiap satu kilogram yang belum dibersihkan dan RM7,000 yang sudah dibersihkan.

“Sebab itulah pengusaha sarang burung walet menggelar sarang unggas itu sebagai ‘emas putih’ kerana nilainya tinggi dalam pasaran tempatan dan antarabangsa.

“Dengan hanya menjadikan tempat perlindungan burung untuk bersarang pada saiz sebesar rumah, pengusahanya mampu memperolehi sarangnya pada jumlah antara tiga hingga 10 kilogram setiap bulan,” katanya kepada Metro Ahad.

Pada masa ini, kata Tok, perusahaan terbabit dimonopoli masyarakat Cina membabitkan 99 peratus.

Disebabkan pembabitan orang Melayu boleh dikira dengan jari, beliau hanya mengenali seorang pengusaha sarang burung Melayu di Kuantan, Pahang.

“Dia hanya mempunyai satu rumah untuk pembiakan burung itu, namun keuntungan diperolehi setiap tahun RM1.2 juta,” katanya.

Menurutnya, jika seseorang pengusaha mempunyai rumah sarang burung yang banyak, sudah tentu mampu memungut keuntungan lebih besar.

Katanya, perusahaan sarang burung walet tidak memerlukan modal besar seperti pekerja serta kos penyelenggaraan.

“Mereka hanya perlu bersabar untuk menarik burung bersarang di tempat disediakan dan hanya menuai hasilnya selepas itu,” katanya.

Setakat ini, Malaysia hanya menyumbangkan 10 peratus kadar pengeluaran sarang burung walet untuk pasaran antarabangsa berbanding Indonesia (70 peratus) dan Thailand (20 peratus).

Beliau berkata, jika diperluas dan dilakukan dalam skala besar, industri sarang burung walet mampu menjadi penyumbang utama kepada ekonomi negara dan setanding dengan pengeluaran kelapa sawit dan getah.

“Setakat ini, ada 50,000 rumah dijadikan sebagai tempat perusahaan itu di seluruh negara. Jumlahnya masih sedikit berbanding perusahaan dijalankan di Indonesia serta Thailand,” kata Tok.

Beliau menjelaskan masih ramai tidak mengetahui burung walet berbeza dengan burung layang-layang.

Walaupun fizikalnya hampir sama, tetapi burung layang-layang membuat sarang dengan bahan seperti rumput atau daun.

“Burung walet membuat sarangnya daripada air liur dan ia dibuat bukan untuk burung berkenaan tinggal di situ. Ia adalah untuk anaknya bertelur dan membesar saja,” katanya.

Sarang burung walet mempunyai pasaran luas di peringkat antarabangsa dan antaranya China, Hong Kong, Taiwan, Jepun, Amerika Syarikat dan Kanada.

Menurut Tok, sarang burung walet mempunyai pelbagai khasiat untuk membantu menjaga kesihatan seperti awet muda dan kecergasan.

Majlis perasmian HPPNK 2009 disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Khamis lalu.

Selain pameran, aktiviti lain dijalankan adalah pertandingan menghias akuarium antara sekolah di seluruh negara, demonstrasi dan pertandingan masakan makanan hasil keluaran pertanian.

Acara lain membabitkan pameran sektor swasta, haiwan ternakan, ikan, jentera, Forum Perdana Hal Ehwal Islam dan Konvensyen Peladang, Penternak dan Nelayan 2009.

Sebanyak 340 gerai dan kios disediakan membabitkan penyertaan daripada agensi kerajaan selain usahawan tani dan peniaga untuk mempamerkan teknologi pertanian serta produk baru untuk dipromosikan.